SINGAPURA: Singapura telah mengambil pendirian berprinsip menentang penggunaan kekerasan oleh tentera Myanmar terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

Republik itu telah berusaha untuk menghalang kemasukan senjata ke Myanmar seperti yang putuskan dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) A/RES/75/287 "The Situation in Myanmar".

Kementerian Luar (MFA) republik itu mengeluarkan kenyataan sebagai menjawap pertanyaan media mengenai laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews.

"Tom Andrews dalam laporannya menyebut Kerajaan Singapura melarang pemindahan senjata ke Myanmar. Singapura juga tidak membenarkan pemindahan barang dwiguna yang telah dinilai mempunyai potensi berisiko serius bahawa ia mungkin digunakan untuk melakukan keganasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata," kata jurucakap MFA.

Jurucakap itu berkata Pelapor Khas Andrews juga telah menyatakan bahawa tiada tanda-tanda Kerajaan Singapura meluluskan atau terlibat dalam penghantaran senjata dan bahan berkaitan kepada tentera Myanmar.

MFA merakamkan penghargaan kepada usaha Pelapor Khas itu yang memberi maklumat bagi membantu Singapura menyiasat sama ada terdapat sebarang kesalahan dilakukan mengikut undang-undang Singapura.

"Singapura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau entiti yang melanggar undang-undang kami," kata jurucakap itu.

Sementara itu, menurut MFA Kerajaan Singapura tetap komited untuk menyediakan bantuan kemanusiaan untuk menyokong rakyat Myanmar.

"Kami akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan PBB untuk memudahkan keamanan dan perdamaian di Myanmar," kata jurucakap itu.

-- BERNAMA